Monday, September 24, 2007


Utusan Malaysia 13 Sept 2007
Hijrah akidah Yusuf Estes
SHEIKH YUSUF ESTES.

Susunan: ZUARIDA MOHYINSHEIKH
Yusuf Estes ialah seorang cendekiawan terkenal yang tidak pernah jemu mengembangkan syiar Islam ke seantero dunia serta mengedarkan bahan-bahan ceramah dalam pelbagai medium kepada umat manusia.
Ikuti autobiografi penghijrahan akidah beliau dari seorang pengkhutbah Kristian kepada pendakwah Muslim yang aktif dan disegani.
Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian di Midwest, Amerika Syarikat. Hakikatnya, nenek moyang kami bukan sahaja membina gereja-gereja dan sekolah-sekolah sepanjang tanah ini tetapi keturunan kami juga merupakan orang yang paling awal datang ke situ.
Semasa di sekolah rendah, kami sekeluarga ditempatkan semula di Houston, Texas pada 1949. Kami selalu menghadiri gereja dan saya telah dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas.
Pada zaman remaja, saya teringin melawat ke gereja-gereja lain untuk mempelajari Baptist, Methodist, Episcopalian, Charismatic movement, Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God ini Christ, Full Gospel, Agape, Chatolic, Presbyterian dan banyak lagi.
Namun, pengkajian saya tidak terhenti kepada agama Kristian. Agama Hindu, Yahudi, Buddha, Metaphysics dan kepercayaan tradisi orang Amerika turut saya selidiki. Sayangnya agama Islam tidak menjadi pilihan.
Bagaimanapun, saya tertarik dengan perbezaan jenis muzik terutamanya Gospel dan Klasikal. Memandangkan keluarga saya ramai yang kuat agamanya dan muzikal, ia secara tidak langsung menjadikan dua bidang ini sebagai pengajian permulaan. Semua ini membawa saya kepada jawatan Paderi Muzik di beberapa gereja di mana saya menjadi ahli gabungan selama lebih setahun. Saya mula mengajar keyboard pada 1960 dan sehingga 1963, saya berjaya memiliki studio sendiri di Laurel, Maryland yang diberi nama Estes Music Studios.
Sepanjang 30 tahun, saya dan bapa banyak bekerjasama mengendalikan pelbagai program hiburan. Kami juga membuka kedai piano dan organ di Texas, Oklahoma hingga ke Florida. Meskipun memperoleh kekayaan namun sukar temui ketenangan fikiran.
Persoalan seperti; “Mengapa kita diciptakan Tuhan?”, “Apakah yang Tuhan mahu kita lakukan?”, “Siapa Tuhan sebenarnya?” dan “Kenapa kita percaya dengan dosa sebenar?” sering menghantui diri. Namun semua persoalan ini dibidas keras malah menyuruh anda menerima tanpa mempersoalkannya atau itulah ‘misteri’ dan anda tidak perlu mempersoalkan hal itu.
Suatu hari tahun 1991, saya terkejut apabila diberitahu bahawa orang Islam mempercayai kitab Bible. Malah lebih memeranjatkan, mereka juga mempercayai bahawa Nabi Isa itu utusan Allah, Rasul, dilahirkan luar biasa tanpa berbapa, Nabi Isa akan kembali pada akhir zaman. Memang ia sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi fikiran saya tentang Islam agak negatif.
Ayah saya sangat aktif menyokong kerja-kerja gereja, terutamanya dalam program sekolah sehingga beliau ditahbiskan (dipersucikan) pada 1970. Dia dan ibu tiri saya mengenali ramai mubaligh Kristian dan pendakwah sehingga pernah membantu pembinaan “Prayer Tower” di Tulsa, Oklahoma. Mereka berdua juga terlibat mengedarkan kaset-kaset ceramah di rumah-rumah orang tua, hospital dan rumah pesara.
Namun pada 1991, ayah mula berurusniaga dengan seorang lelaki dari Mesir dan menyuruh saya menemui lelaki beragama Islam itu. Pada awalnya saya agak keberatan apa lagi mengetahui bahawa mereka adalah pengganas, perampas, penculik dan pengebom. Bukan itu sahaja, mereka juga bukannya mempercayai Tuhan, yang mereka tahu hanya mencium tanah lima kali sehari dan menyembah kotak hitam di tengah padang pasir.
Tidak! saya tidak akan berjumpa dengannya. Berkali-kali juga ayah mendesak dengan mengatakan dia seorang yang baik. Kerana tidak tahan dengan permintaannya, akhirnya saya bersetuju dengan syarat; pada hari Ahad, selepas ke gereja, membawa kitab Bible, seutas salib dan memakai kep yang tertulis ‘Nabi Isa adalah Raja’. Isteri dan dua anak perempuan saya ikut serta dalam pertemuan itu.
Saya terkejut kerana saya menantikan seorang yang bertubuh sasa dengan jubah, serban, berjanggut paras dada dan bulu kening bercantum di dahi. Tetapi lelaki ini jauh berbeza, tiada janggut dan kepalanya hampir botak. Yang pasti, orangnya menyenangkan dan mesra. Semua ini jauh daripada sangkaan awal saya. Pun begitu, matlamat saya pada masa itu hanya satu iaitu, ‘menyelamatkannya’.
Ketuhanan
Saya banyak bertanyakan soalan kepadanya, terutamanya yang berkaitan dengan ketuhanan dan perihal nabi-nabi. Dia banyak mengiyakan. Kami semakin rancak berbual dan semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Saya dapat rasakan yang dia seorang yang baik, pendiam dan sedikit pemalu. Banyak topik yang kami bualkan acap kali bertemu dan ada ketikanya saya cuba selitkan beberapa mesej tentang agama kami.
Pada suatu hari saya dapat tahu bahawa teman Islam saya, Mohamed terpaksa berpindah dan tinggal sementara waktu di masjid. Kami bersetuju menumpangkan Mohamed di rumah besar kami.
Pengenalan pendek dengan seorang lelaki yang mengakui paderi Kristian yang telah melakukan kerja-kerja mubaligh untuk gereja lebih 12 tahun di selatan dan tengah Amerika Syarikat dan Mexico serta di New York membawanya tinggal bersama kami dan Mohamed. Kami berbual tentang konsep kepercayaan dalam agama Islam.
Mengejutkan saya apabila diberitahu bahawa setiap paderi Katolik, mereka belajar agama Islam dan ada di antaranya yang memiliki doktor falsafah dalam subjek itu. Ini satu yang baru bagi saya.
Semenjak itu kami sentiasa berbincang tentang agama masing-masing. Kami pernah bertanyakan perubahan versi kitab masing-masing. Pernah sekali saya bertanyakan kepada Mohamed sejak 1,400 tahun sudah ada berapa versi al-Quran. Pendek jawapannya hanya ada satu iaitu al-Quran malah ia telah dihafal oleh jutaan manusia. Bagi saya ini sesuatu yang mustahil. Bagaimana kitab saya boleh berubah-ubah sedangkan al-Quran tetap terpelihara.
Pada suatu hari teman paderi saya bertanyakan Mohamed keinginannya untuk mengikutnya ke masjid untuk mengetahui keadaan di sana. Sekembalinya mereka, saya bertanya kepada paderi itu apa yang dilakukan oleh orang Islam? Dia memberitahu, tidak ada apa yang dilakukan hanya sembahyang dan pulang. Pelik, tidak ada ceramah ataupun nyanyian.
Beberapa hari kemudian, sekali lagi paderi itu mahu mengikut Mohamed ke masjid. Kali ini mereka pergi agak lama sehingga hari sudah gelap. Bila pulang saya dapati, Peter (paderi) sudah melakukan syahadah. Saya terkejut dan semalaman memikirkan hal itu, lalu menceritakan kepada isteri. Tambah mengejutkan, apabila isteri saya juga menyuarakan hasratnya untuk bergelar Muslim kerana mengakui kebenaran Islam.
Saya terus memanggil Mohamed dan kami berbincang sepanjang malam sehingga masuk waktu solat Subuh, Mohamad meminta izin untuk melaksanakan kewajipannya. Pada detik itu, saya menyedari erti kebenaran dan sudah tiba masanya untuk saya membuat pilihan yang bakal menyelamatkan saya sama ada di dunia mahupun akhirat.
Saya ke belakang rumah, ambil sekeping papan lapis dan di situlah saya sujud mengadap kiblat. Saya meminta, kepada-Nya petunjuk dan bimbingan. Selepas dari itu, saya benar-benar dapat merasakan perubahan di dalam diri. Saya terus naik ke atas dan mandi dengan harapan ia akan membersihkan dosa-dosa. Saya kini seorang yang baru dan berazam membina kehidupan atas dasar kebenaran.
Pukul 11 pagi hari itu, saya mengucap syahadah bersama dua saksi iaitu sebelum ini Father Peter Jacob dan Mohamed Abel Rehman. Kemudian diikuti isteri dan beberapa bulan selepas itu, bapa pula melafazkan syahadah. Anak-anak saya dipindahkan dari sekolah Kristian kepada sekolah Muslim. Sepuluh tahun kemudian mereka berjaya menghafal al-Quran. Akhir sekali, ibu tiri saya pula mengakui kebenaran Islam.”

Kisah-kisah mereka yang mendapat Hidayah


Hassan dekati Islam secara curi-curi
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
Minat Hassan Abdullah bermain alat muzik memberi kelebihan kepadanya untuk mencipta lagu.

Tidak pernah terfikir untuk dirinya mendalami agama Islam apalagi sebelum ini ibu bapa dan ahli keluarganya tidak mempercayai tentang kewujudan Tuhan. Baginya pegangan itu tersemat di jiwa sejak kecil sehingga dewasa tanpa pegangan agama yang kuat.
Kehidupan sehariannya di United Kingdom (UK) diteruskan seperti manusia lain di muka bumi ini. Namun dalam kehidupan itu hatinya mula mencari-cari erti ketenangan dalam hidupnya sebagai hamba kepada maha pencipta.
Semua itu ibarat cermin pada dirinya mendalami agama Islam yang mendorong untuk bergelar seorang muslim.
Apa yang mahu dikongsikan ialah bagaimana beliau sebelum ini yang mengamalkan budaya barat kini bertukar wajah menjadi seorang muslim sejati apabila mendapat petunjuk dan hidayah Allah s.w.t.
“Hati ini terdetik untuk mengenal Islam ketika bekerja di salah sebuah kedai buku yang menjual pelbagai koleksi buku berkenaan falsafah dan agama timur.
“Apabila saya melihat dan menyusun buku tersebut lalu terpandang beberapa buah buku ilmiah yang menceritakan tentang agama Islam,” kata Hassan Abdullah Peter Brown, 64, ketika ditanya apa yang mendorongnya mendalami Islam di kediamannya di Medan Damansara, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Semasa bekerja di kedai buku itu beliau bertemu seorang warga Britain yang telah memeluk Islam. Beliau iaitu seorang pendita memperkenalkan Hassan kepada seorang Syeikh.
Bermula dari situ, ia menjadi titik permulaan baginya mengenali Islam di samping berkerja sebagai pelayan di kedai buku. Pantang ada masa terluang, beliau akan mencuri masa mempelajari dan mentelaah bahan-bahan rujukan agama.
Dalam pada itu, pada zaman remaja dan dewasa dia gemar bermain alat-alat instrumen muzik di samping menjadi komposer dan penerbit bagi lagu-lagu Inggeris. Bagaimanapun, minatnya dalam dunia muzik adalah sekadar hobi semata-mata.
Pada masa yang sama, kegagalan rumahtangganya yang pertama memberi kesan dan membuatnya berasa amat pilu. Oleh kerana itu beliau menjadi ahli sebuah kumpulan terapi yang dianjurkan oleh warga Iraq yang juga seorang penari dan pemain alat muzik.
Antara aktiviti yang dilakukan adalah senamrobik, berzikir mudah seperti Bismillahirrahmanirrahim dan menari sambil penganjur bermain percussion.
Selain itu, peserta-peserta juga duduk sambil mendengar kaset Al-Quran. Walaupun pada waktu ini Hassan belum lagi mengenali al-Quran, tetapi mendengar rakaman itu mententeramkan hati dan perasaannya. Album Hassan seterusnya, The Seacher mengandungi ciri-ciri Islam.
Tidak lama kemudian Hassan memeluk Islam dan Allah maha kaya apabila Hassan akhirnya pada tahun 70-an dipertemukan jodoh dengan seorang isteri, Markizah Halim, 52, yang mempunyai minat yang sama dalam bermain alat muzik dan menyanyi.
Ketika zaman muda, isterinya melanjutkan pengajian di UK dalam bidang osteopathy di salah sebuah universiti yang terkemuka di sana.
Hasil daripada pertemuan serta minat dan hobi yang sama dalam bermain alat muzik akhirnya hati mereka disatukan sebagai suami isteri. Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Nafisah, 26 dan Rashid, 23, yang ketika itu masing-masing masih kanak-kanak lagi.
Selepas empat tahun mendirikan rumahtangga di UK akhirnya Hassan sekeluarga kembali ke Malaysia untuk menjana kehidupan yang bahagia di bumi ini.
Cabaran
Di Malaysia, Hassan dan isteri terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran untuk mendapat pekerjaan.
Namun atas keberkatan Allah s.w.t akhirnya Hassan ditawarkan sebagai pensyarah sejarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 1984. Isterinya pula bekerja sebagai osteopath di sebuah pusat terapi alternatif.
Namun bagi Hassan minatnya yang mendalam dalam dunia muzik menyukarkannya memberi komitmen mengajar seratus peratus. Akhirnya Hassan dan Markizah memutuskan untuk kembali aktif bermain muzik dan menyanyi di hotel-hotel terkemuka di dalam dan luar negara selain mereka juga merakam dua album.
Kini, Hassan mendapat kepuasan mengendalikan dan bermain muzik bersama isterinya dengan sebuah kumpulan muzik, Soft Touch yang mengadakan persembahan atas jemputan untuk majlis-majlis keramaian. Soft Touch juga telah merakam album tahun lepas.
Jelasnya lagi, kehidupannya menjadi bahagia dengan sokongan isteri dan anak-anak yang membantu dirinya untuk terus menjadi muslim sejati.
Ditanya mengenai amalan selepas bergelar muslim, Hassan berkata, kehidupan kini lebih bahagia dan tidak pernah kekok dalam mendalami ilmu agama. Banyak aktiviti keagamaan dan kebajikan disertai bagi memelihara hubungan dengan masyarakat.
Katanya, amalan agama seperti berpuasa pada bulan Ramadan tidak menjadi penghalang pada dirinya. Namun pada peringkat awal dulu menjadi kesukaran tetapi sekarang ia telah menjadi kebiasaan pada dirinya.
Hassan juga bersyukur kerana isterinya sentiasa memberi sokongan dalam membawa dirinya ke jalan Allah s.w.t. Tanpa sokongan isteri kemungkinan besar dirinya akan hanyut dalam dunianya yang sebelum ini.
“Isteri dan anak-anak adalah penguat kasih sayang kami dalam menjalani kehidupan sebagai muslim,” jelasnya.
Kini Hassan memfokuskan kepada kerja-kerja penerbitan muzik dan mencipta lagu untuk pasaran tempatan. Bagi mereka yang ingin mengenali atau memerlukan bantuan dari segi instrumen muzik boleh melawati laman web: www.lemang.com dan emel: lemangmusic@gmail.com.

Kisah-kisah mereka yang mendapat Hidayah

Misi bantuan membawa nur keislaman
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
Aliyah Fong Abdullah.

KALI pertama menjejaki kaki di bumi Palestin dan Lebanon pada tahun 1987, hati Aliyah Fong Abdullah tersentuh apabila melihat peperangan yang memusnahkan penempatan masyarakat Palestin.
Kawasan itu rosak teruk akibat bedilan roket dan bom Israel. Kumpulan bersenjata Yahudi menyerang perkampungan itu dan membunuh penduduk yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Peristiwa itu kemudian mencetuskan pergolakan yang berpanjangan. Ribuan penduduk Palestin yang menjadi pelarian angkara keganasan rejim Zionis itu terus menghitung hari bilakah kesengsaraan mereka akan berakhir.
Atas kesedaran itu, Aliyah atau nama asalnya Fong Shook Foon memulakan perjalanan ke sana untuk bersama-sama dengan Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) dan pasukan perubatan antarabangsa dalam misi bantuan keamanan untuk membantu mangsa-mangsa konflik Asia Barat itu.
Sebagai jururawat bukan Islam yang ketika itu berkhidmat secara sukarela di khemah Bourj El-Barajneh Beirut, Lebanon, Aliyah masih mengingati hari-hari yang terpaksa dilalui untuk merawat mangsa pengeboman itu. Ia merupakan pengalaman yang meruntun jiwa dan perasaan.
Wanita yang berasal dari Bumi Kenyalang ini bergelut dengan keperitan kehidupan sebagai manusia apabila terpaksa menyaksikan sendiri kekejaman yang meragut nyawa manusia yang tidak berdosa.
Sesetengah pesakit yang dirawatnya mula membayangkan bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan konflik itu selain berdoa kepada pencipta-Nya.
Aliyah menyaksikan wajah sayu dan mendengar suara tangisan wanita, kanak-kanak Palestin dan Lebanon yang kehilangan suami dan ahli keluarga tercinta.
Namun, tragedi itu masih belum cukup untuk menyatukan manusia khususnya umat Islam mengusahakan kedamaian yang menyeluruh, sekali gus membawa keamanan kepada bumi Palestin dan Lebanon yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam.
“Di Lebanon pada tahun 1987, hati saya mula terdetik. Di manakah keadilan untuk membela nasib dan kesengsaraan beribu-ribu malah berjuta-juta rakyat Palestin dan Lebanon itu seolah-olah semakin dipandang sepi oleh dunia, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” jelas Aliyah.
Bermula dengan peristiwa yang menyentuh perasaan, Aliyah mula bertanya tentang kebenaran agama Islam. Beliau mengamalkan sikap berhati-hati dalam membicarakan soal agama Islam dengan rakan jururawat, doktor dan pesakit. Ia merupakan perkara yang begitu sensitif.
“Perbezaan agama antara kami mungkin menyukarkan saya untuk berbicara dengan mereka. Namun tanggapan saya salah. Masyarakat Islam Palestin dan Lebanon di sana melayan saya lebih daripada adik-beradik. Mereka membantu saya dan memberi tunjuk ajar yang sewajarnya,” kata Aliyah.
Sikap itu sungguh menyentuh perasaan kerana mereka mengetahui Aliyah bukan beragama Islam. Walaupun berbeza agama, mereka tetap melayannya seperti saudara mereka sendiri. Sikap penyayang mereka memberi tauladan kepada Aliyah yang ketika itu baru cuba mendalami Islam.
“Saya mula terfikir tentang kebenaran agama Islam. Pada ketika itu saya masih mencari-cari jawapan akan kebenaran agama itu, dan perasaan itu mula membuak-buak ketika saya merawat pesakit.
“Sebelum rawatan diberikan, pesakit Islam tetap memberi salam kepada saya walaupun dalam keadaan kesakitan yang amat sangat. Ia menyebabkan saya tergamam,” katanya.
Pengertian salam itu membuatkan setiap hati manusia terutama yang bukan beragama Islam berasa serba salah untuk menjawabnya. Hati Aliyah mula tidak tenteram. Dia cuba bertanyakan tentang hal itu kepada seorang doktor yang bersama-sama terlibat dalam misi bantuan perubatan itu.
Ketika bertanya, banyak perkara yang menyentuh soal agama Islam dibincangkan bersama doktor itu. Perbincangan itu membuatkan doktor itu menghadiahkan Aliyah sebuah buku mengenai Nabi Muhammad s.a.w.. Bermula dari situ, banyak masa Aliyah habiskan untuk membaca dan memahami buku itu sehingga beliau mendapat penjelasan dan jawapan yang hakiki.
“Selepas peristiwa itu, hati saya mula mendesak untuk mendekati Islam. Pengislaman saya bermula pada tahun 1990. Saya mendaftarkan diri di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selepas saya memeluk Islam, hati saya mula tenang. Pengorbanan dan pengalaman yang saya alami serta keperitan yang ditanggung oleh masyarakat Palestin dan Lebanon memberi saya satu keinsafan untuk lebih mengenal dan beribadat kepada Allah s.w.t.,” katanya.
Aliyah juga bersyukur kerana keluarganya tidak menghalang beliau memeluk agama Islam. Malahan mereka merestui pilihannya untuk menukar agama.
“Keredaan Allah s.w.t. sekali lagi mempertemukan jodoh saya dengan suami tercinta, Mohd. Daud Nordin. pada tahun 1992. Majis perkahwinan kami diserikan dengan kehadiran kedua-dua belah keluarga.
“Kehidupan saya dan suami bertambah bahagia apabila dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Diyanah. Kehadirannya adalah penyeri dalam kehidupan saya dan menjadi pengikat kasih sayang dengan suami,” jelasnya.
Aliyah masih mengingati pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan agar beliau tidak melupai keluarga kandung walaupun telah memeluk Islam.
Pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku ketika Aliyah Fong menghadiri satu majlis makan malam kira-kira lapan tahun lalu.
Dalam meniti kehidupan, Aliyah masih menjalankan aktiviti kebajikan dengan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Pergorbanan dan penglibatannya dalam misi bantuan dihargai apabila beliau dianugerahkan darjah Ahli Bintang Sarawak daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Aliyah juga menerima Anugerah Belia Muda Cemerlang 1997 dan Anugerah Pengiktirafan Kerajaan Malaysia atas sumbangan baktinya dalam Misi Bantuan Keamanan.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Jendela Hikmah: Bapa salih bentuk keluarga cemerlang
Oleh Zain Mohamed

PENGORBANAN bapa dalam membangun dan memimpin keluarga perlu dihargai. Kita perlu bertafakur sejenak bagi menilai tugas dan tanggungjawab bapa memimpin keluarga mengikut pandangan Islam.
Kerjasama bapa dan anggota keluarga lain wajar diberi perhatian dalam memastikan bapa dapat mencapai kecemerlangannya sebagai tonggak keluarga. Kita pernah mendengar ungkapan ‘di sebalik kejayaan lelaki ada wanita di belakangnya’. Rasulullah SAW sendiri mendapat sokongan padu daripada Siti Khadijah serta isterinya yang lain. Anak pula perlu menghormati pandangan bapa dan memberikan kesetiaan jitu kepada kepemimpinannya. Apa lagi sekiranya konsisten dengan amalan berbincang dalam urusan keluarga.Ada banyak perkara yang perlu diperhatikan oleh bapa supaya kepemimpinannya dalam keluarga dihormati dan disegani. Perkara itu banyak disebutkan dalam al-Quran dan hadis.Antaranya:
· Mendidik anak dengan keperibadian dan akhlak Islam.
· Menyayangi yang muda dan menghormati yang tua.
· Mencari dan menyediakan nafkah untuk keluarganya.
· Menjaga kehalalan dan kesucian sumber rezeki yang dicari untuk keluarganya.
· Tidak membesarkan anak dalam kemewahan berlebihan.
· Membantu isterinya dengan kerja rumah yang mampu dilakukan. Ini akan merapatkan hubungan suami isteri, di samping memberi gambaran keakraban dan keselamatan keluarga kepada anak.
· Mengajar anak ilmu fardu ain.
· Mendidik anak dengan ilmu dan kemahiran hidup yang diperlukan sesuai dengan zamannya.
· Membimbing anak untuk menghayati cara hidup Islam.
· Bertegas secara bijaksana dalam mengajar anak mematuhi ajaran Islam. Berlembut dan bertolak-ansur biar kena pada tempatnyaAktivis masyarakat dan pendakwah terkenal, Hassan Al-Banna, menegaskan bahawa seorang bapa mesti mempunyai ciri asas seorang Islam. Akidah, ibadah dan akhlaknya mesti benar-benar Muslim. Dia perlu tahu dan mengamalkan tanggungjawabnya sebagai orang Islam sesempurna mungkin. Seorang bapa perlu sentiasa menilai dirinya, terutama hubungannya dengan Allah dan setakat mana penghayatan amalan Islam. Apa yang penting bagi seorang bapa ialah menjaga hak dan batasan Allah dalam diri dan keluarganya sambil menyerahkan dirinya kepada Allah. Bapa yang bertanggungjawab perlu sentiasa bersedia menghadapi dan menangani pelbagai dugaan dan rintangan yang melanda diri dan keluarganya. Begitu juga menyelesaikan segalanya menggunakan garis panduan Allah dan rasul-Nya. Bapa perlu menjadi teladan baik kepada seluruh keluarga.Seorang bapa wajib mencari nafkah keperluan untuk keluarganya serta merancang ekonomi dan masa depan anak. Kemampuan menyediakan keperluan fizikal yang lengkap bukan keutamaan bagi seorang bapa yang baik. Dia perlu mempunyai visi dan misi membentuk suasana Islam dalam rumah tangganya. Penulis ialah Yang Dipertua JIM Daerah Manjung, Perak dan boleh dihubungi pada wanitajim@jim.org.my
Dipetik dari Berita Harian (15.06.2005)

Rahsia jadi ayah yang berkesan
Oleh Endok Sempo Mohd Tahir

BEBERAPA kajian menunjukkan bahawa kehadiran ayah menyumbang terhadap kejayaan anak dalam setiap fasa kehidupan mereka. Kajian itu disimpulkan dalam Father Facts, Edisi Ketiga (1998), antaranya:
Bayi yang mempunyai ayah yang selalu bersama-sama anaknya di lapan minggu pertama, lebih berkemampuan menangani tekanan di alam persekolahan.Anak yang rapat dengan ayahnya pada zaman kanak-kanak menjadi ejen ‘penyelesai masalah’ yang baik apabila dewasa berbanding kanak-kanak yang tidak dipedulikan oleh ayahnya.Apabila anak lelaki dan perempuan dididik dan dibelai oleh ayahnya serta sentiasa di sampingnya, sikap mereka apabila dewasa menjadi lebih berinisiatif dan mampu mengawal diri.Kanak-kanak yang mempunyai hubungan rapat dengan ayahnya ketika zaman tumbesarannya akan menjadi seorang remaja dan orang dewasa yang seimbang.
· Anak yang tidak berbapa.Kajian menunjukkan kekosongan daripada belaian kasih ayah mempunyai hubungan rapat dengan pelbagai permasalahan gejala sosial dan prestasi pembelajaran anak-anak. Anak yang tidak tinggal dengan ayahnya menunjukkan gejala seperti di bawah:
· Lima kali lebih teruk prestasi pembelajaran.
· Tiga kali lebih ramai yang mengandung tanpa nikah.
· Lebih 50 peratus kemungkinan keciciran dalam pembelajaran, terbabit dengan gangsterism, penyalahgunaan dadah dan jenayah juvana.(Sumber: Pusat Kebapaan Kebangsaan)Tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan.Ramai lelaki terbilang berjaya dan berbangga kerana menjadi seorang ayah cemerlang dan berkesan. Menurut kajian Dr Ken Canfield, pengasas dan juga Presiden Pusat Kebapaan Kebangsaan dalam penyelidikannya mengenai ‘kebapaan’ ada tujuh rahsia menjadi ayah yang berkesan:-
· Bapa yang komited dan bertanggungjawab.Jalankan tugas bapa dengan penuh dedikasi dan bertanggungjawab. Kenal pasti apakah tugas anda sebagai bapa dalam rumah tangga. Tunjukkan dan beritahu anak bahawa anda juga ada tugas dalam rumah tangga, disamping ibu mereka. Anda bukan hanya bertugas di luar. Sekali-sekala berikan mereka peluang untuk mengutarakan pandangan atau menegur anda jika terlupa atau terlalai melakukan tugas anda di rumah. Selalu memeriksa dan memantau apakah anda telah melaksanakan tugas di rumah. Bayangkan ‘hadiah’ atau ‘anugerah’ yang bakal didapati (sama ada di dunia atau akhirat) jika anda menjadi ayah cemerlang!
· Kenali anak anda. Ambil masa untuk mengenali secara khusus keunikan dan kualiti anak anda. Libatkan diri dalam dunia mereka, hadiah yang mereka sukai, ketakutan, kekecewaan malah impian dan cita-cita mereka. Cuba ingatkan semua nama kawan mereka serta pembawaan masing masing.Kenal pasti apa yang selalu mengecewakan, ditakuti, dibenci, paling memalukan serta yang boleh memberi motivasi dan perangsang kepada mereka
· Istiqamah (tetap pendirian) Apabila anak tahu apa yang bapa mahukan, mereka akan lebih berasa yakin serta boleh menyesuaikannya dengan kehendak anda. Jadi, istiqamah, tetap pendirian serta konsisten. Ada enam tempat anda perlu konsisten iaitu hadkan perubahan mood (jangan terlalu mengikuti perasaan); sentiasa ada di rumah (selalu menghadirkan diri dalam acara kekeluargaan); kotakan apa yang dikata, bukan cakap tidak serupa bikin; sentiasa menjaga moral dan adab sopan; mempunyai atur cara kehidupan teratur serta ada hobi dan kegemaran baik yang boleh dilihat dan diikuti.
· Melindungi, menyara dan mendoakan.Sediakan suasana dan rasa selamat dalam rumah dengan memberikan respon yang positif setiap kali berlaku krisis dan permasalahan dalam rumah. Paling penting anda memberikan saraan yang cukup kepada mereka. Bapa tidak boleh menghalang berlakunya krisis, tetapi tindakan anda ketika berlaku krisis dan mengembalikan suasana normal, sebenarnya ‘mengajar’ anak menangani krisis. Jangan lupa doakan untuk anak selepas solat.
· Mencintai ibu mereka.Zahirkan cinta anda kepada isteri anda di depan anak untuk menunjukkan satu hubungan suami isteri yang intim dan bermakna. Jadikan diri anda sebagai anggota dalam pasukan ‘keibubapaan’, bukan hanya ibu. Inilah langkah dan hadiah terbaik untuk anak. Dalam jangka panjang, anak mendapat manfaat yang sangat bernilai daripada hubungan ibu bapa yang hormat menghormati, bekerjasama dan berkasih sayang.
· Menjadi pendengar yang baikSedarlah bahawa anak mudah tersesat atau terpesong dalam arus dunia. Dengar apa yang mereka katakan dan apa yang tidak terluahkan. Tunjukkan kepada mereka bahwa mereka ‘berhak’ untuk didengari dan diberi perhatian.
· Jadikan diri anda ‘pemimpin’ kerohanian.Beri peluang anak anda mengenali Allah dengan menunjukkan ‘keimanan’ dan amal harian anda yang selari dengan tuntutan agama. Bersolat bersama-sama dan jadi imam dalam solat lima waktu di rumah. Bawalah mereka bersama-sama menunaikan solat berjemaah di masjid. Selalu bercerita mengenai makhluk yang dicintai Allah di bumi dan langit.Selamat Hari Bapa!PENULIS boleh dihubungi pada wanitajim0@yahoo.com dan persoalan boleh dilihat di www.wanitjimceria.blogspot