Misi bantuan membawa nur keislaman
Oleh MOHD. SAIFUL MOHD. SAHAK
Aliyah Fong Abdullah.
KALI pertama menjejaki kaki di bumi Palestin dan Lebanon pada tahun 1987, hati Aliyah Fong Abdullah tersentuh apabila melihat peperangan yang memusnahkan penempatan masyarakat Palestin.
Kawasan itu rosak teruk akibat bedilan roket dan bom Israel. Kumpulan bersenjata Yahudi menyerang perkampungan itu dan membunuh penduduk yang tidak berdosa, termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.
Peristiwa itu kemudian mencetuskan pergolakan yang berpanjangan. Ribuan penduduk Palestin yang menjadi pelarian angkara keganasan rejim Zionis itu terus menghitung hari bilakah kesengsaraan mereka akan berakhir.
Atas kesedaran itu, Aliyah atau nama asalnya Fong Shook Foon memulakan perjalanan ke sana untuk bersama-sama dengan Institut Penyelidikan Sosial Malaysia (MSRI) dan pasukan perubatan antarabangsa dalam misi bantuan keamanan untuk membantu mangsa-mangsa konflik Asia Barat itu.
Sebagai jururawat bukan Islam yang ketika itu berkhidmat secara sukarela di khemah Bourj El-Barajneh Beirut, Lebanon, Aliyah masih mengingati hari-hari yang terpaksa dilalui untuk merawat mangsa pengeboman itu. Ia merupakan pengalaman yang meruntun jiwa dan perasaan.
Wanita yang berasal dari Bumi Kenyalang ini bergelut dengan keperitan kehidupan sebagai manusia apabila terpaksa menyaksikan sendiri kekejaman yang meragut nyawa manusia yang tidak berdosa.
Sesetengah pesakit yang dirawatnya mula membayangkan bahawa tidak ada apa-apa lagi yang boleh dilakukan untuk menyelesaikan konflik itu selain berdoa kepada pencipta-Nya.
Aliyah menyaksikan wajah sayu dan mendengar suara tangisan wanita, kanak-kanak Palestin dan Lebanon yang kehilangan suami dan ahli keluarga tercinta.
Namun, tragedi itu masih belum cukup untuk menyatukan manusia khususnya umat Islam mengusahakan kedamaian yang menyeluruh, sekali gus membawa keamanan kepada bumi Palestin dan Lebanon yang turut menempatkan Masjid al-Aqsa iaitu kiblat pertama umat Islam.
“Di Lebanon pada tahun 1987, hati saya mula terdetik. Di manakah keadilan untuk membela nasib dan kesengsaraan beribu-ribu malah berjuta-juta rakyat Palestin dan Lebanon itu seolah-olah semakin dipandang sepi oleh dunia, khususnya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” jelas Aliyah.
Bermula dengan peristiwa yang menyentuh perasaan, Aliyah mula bertanya tentang kebenaran agama Islam. Beliau mengamalkan sikap berhati-hati dalam membicarakan soal agama Islam dengan rakan jururawat, doktor dan pesakit. Ia merupakan perkara yang begitu sensitif.
“Perbezaan agama antara kami mungkin menyukarkan saya untuk berbicara dengan mereka. Namun tanggapan saya salah. Masyarakat Islam Palestin dan Lebanon di sana melayan saya lebih daripada adik-beradik. Mereka membantu saya dan memberi tunjuk ajar yang sewajarnya,” kata Aliyah.
Sikap itu sungguh menyentuh perasaan kerana mereka mengetahui Aliyah bukan beragama Islam. Walaupun berbeza agama, mereka tetap melayannya seperti saudara mereka sendiri. Sikap penyayang mereka memberi tauladan kepada Aliyah yang ketika itu baru cuba mendalami Islam.
“Saya mula terfikir tentang kebenaran agama Islam. Pada ketika itu saya masih mencari-cari jawapan akan kebenaran agama itu, dan perasaan itu mula membuak-buak ketika saya merawat pesakit.
“Sebelum rawatan diberikan, pesakit Islam tetap memberi salam kepada saya walaupun dalam keadaan kesakitan yang amat sangat. Ia menyebabkan saya tergamam,” katanya.
Pengertian salam itu membuatkan setiap hati manusia terutama yang bukan beragama Islam berasa serba salah untuk menjawabnya. Hati Aliyah mula tidak tenteram. Dia cuba bertanyakan tentang hal itu kepada seorang doktor yang bersama-sama terlibat dalam misi bantuan perubatan itu.
Ketika bertanya, banyak perkara yang menyentuh soal agama Islam dibincangkan bersama doktor itu. Perbincangan itu membuatkan doktor itu menghadiahkan Aliyah sebuah buku mengenai Nabi Muhammad s.a.w.. Bermula dari situ, banyak masa Aliyah habiskan untuk membaca dan memahami buku itu sehingga beliau mendapat penjelasan dan jawapan yang hakiki.
“Selepas peristiwa itu, hati saya mula mendesak untuk mendekati Islam. Pengislaman saya bermula pada tahun 1990. Saya mendaftarkan diri di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Selepas saya memeluk Islam, hati saya mula tenang. Pengorbanan dan pengalaman yang saya alami serta keperitan yang ditanggung oleh masyarakat Palestin dan Lebanon memberi saya satu keinsafan untuk lebih mengenal dan beribadat kepada Allah s.w.t.,” katanya.
Aliyah juga bersyukur kerana keluarganya tidak menghalang beliau memeluk agama Islam. Malahan mereka merestui pilihannya untuk menukar agama.
“Keredaan Allah s.w.t. sekali lagi mempertemukan jodoh saya dengan suami tercinta, Mohd. Daud Nordin. pada tahun 1992. Majis perkahwinan kami diserikan dengan kehadiran kedua-dua belah keluarga.
“Kehidupan saya dan suami bertambah bahagia apabila dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Diyanah. Kehadirannya adalah penyeri dalam kehidupan saya dan menjadi pengikat kasih sayang dengan suami,” jelasnya.
Aliyah masih mengingati pesanan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam satu pertemuan agar beliau tidak melupai keluarga kandung walaupun telah memeluk Islam.
Pertemuan yang tidak dirancang itu berlaku ketika Aliyah Fong menghadiri satu majlis makan malam kira-kira lapan tahun lalu.
Dalam meniti kehidupan, Aliyah masih menjalankan aktiviti kebajikan dengan memberi sumbangan kepada masyarakat.
Pergorbanan dan penglibatannya dalam misi bantuan dihargai apabila beliau dianugerahkan darjah Ahli Bintang Sarawak daripada Yang Dipertua Negeri Sarawak.
Aliyah juga menerima Anugerah Belia Muda Cemerlang 1997 dan Anugerah Pengiktirafan Kerajaan Malaysia atas sumbangan baktinya dalam Misi Bantuan Keamanan.
http://www.utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2006&dt=0928&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment